Minggu ke-4 Hari Hari NCBL 2026 berlangsung penuh drama, sorakan dan aksi luar biasa apabila barisan pasukan dari kategori U18 dan Division 3 turun berentap demi memburu kemenangan penting dalam saingan liga komuniti paling hangat di Malaysia.
Antara aksi yang paling mencuri perhatian sudah pastinya kemenangan bergaya Klang Bandits yang berjaya menundukkan KD Thunderbolt dengan keputusan 78-63. Momentum permainan agresif, pertahanan mantap serta semangat luar biasa di bangku simpanan jelas menjadi faktor utama kejayaan mereka pada minggu ini. Sorakan penuh emosi daripada pemain dan penyokong menggambarkan betapa pentingnya kemenangan tersebut dalam misi memburu kedudukan terbaik liga.
Dalam kategori U18 pula, Shah Alam Megahtown tampil garang apabila membelasah SMAP Kajang 89-20 dalam aksi yang cukup dominan dari awal hingga tamat permainan. Subang Sensei turut menghantar mesej jelas kepada pencabar lain selepas mencatat kemenangan besar 93-36 ke atas Rakuzan Fury Fire.
Saingan Division 3 juga tidak kurang hebat dengan beberapa perlawanan berlangsung sangat sengit sehingga minit terakhir. Damansara Arcana berjaya mencuri kemenangan tipis 50-47 ke atas Dengkil Cybersaurus, manakala Ampang Swisherz B menewaskan XCD dengan beza hanya satu mata, 65-64 dalam antara perlawanan paling mendebarkan minggu ini.
You must be logged in to post a comment Login